Sebelum menerima berita, awal-awal pagi lagi saya tercari-cari kalendar. Melihatkan tarikh semacam ada perkara yang hendak mengigatkan saya atas suatu kejadian. Oh, nombor-nombor itu mengigatkan saya pada peristiwa yang lalu...
Saya juga telah kehilangan insan tercinta pada 12/2/.. Bulan dan tahun yang berbeza tetapi seakan sama. Luluh hati ini hanya Tuhan yang mengetahui. Mengenangkan lagi keadaan saya yang masih memerlukan bantuan untuk bergerak. Saya menangis semahu- mahunya kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kehilangannya dalam sekelip mata hampir-hampir membuatkan saya tidak dapat menerima kenyataan. Selama sebulan Arwah Ayah bersungguh-sungguh menguruskan saya yang terlantar sakit, rupanya- rupanya genap sebulan dia akan meninggalkan saya...
Orang yang kuat akan bertindak tenang apabila ditimpa musibah. Ternyata, saya tidaklah semampu itu. Dalam kepiluan saya mencari-cari kekuatan diri. Memohon pada yang Esa menemukan kembali semangat yang telah hilang. Redha.. saya tepuk di dada beberapa kali agar ia melekat di hati...
Alhamdulillah, rasa tenang membuatkan saya dapat berfikir dengan waras. Saya masih beruntung kalau hendak dibandingkan dengan orang yang mendapat ujian yang lebih hebat. Saya tidak keseorangan...
Al-Fatihah buat Allahyarham Mahat bin Omar dan semua Muslimin dan Muslimat yang telah dijemput terlebih dahulu menemui-Nya. Semoga dicucuri Rahmat dengan sebanyak- banyaknya. Amin