Monday, October 24, 2011

Teman Yang Bakal Hadir

Bila mengenangkan kematian, jiwa rasa resah. Hati tidak tentu arah. Mengapa ini terjadi... Mungkinkah kerana "hubbud dunya" melahirkan rasa ini...

Pagi tadi saya sempat melawat sebuah kematian. Kerana tidak mahu pergi bersendirian, saya mengambil kesempatan membawa beberapa orang pelajar perempuan. Niat di hati, moga mereka mendapat pengajaran dan peringatan. Namun, setibanya di rumah Allahyarhamah, saya pula yang dilanda kesayuan. Mungkin mengenangkan diri yang bakal juga mengambil giliran...
" Ya Allah.., amalan apa yang dapat kupersembahkan kepadaMu kelak... Layakkah diriku menjejaki SyurgaMU... "
" Ya Allah,...

Saturday, October 15, 2011

HAKIKAT YANG PERLU DISEDARI DAN BERTINDAKLAH...

Dalam dua minggu yang lepas ini fikiran saya agak sesak dengan pelbagai rancah kehidupan. Lebih-lebih lagi untuk warga SMATBP. Dengan tugasan penuh yang perlu diselesaikan, juga pelajar-pelajar yang dahagakan perhatian. Saya masih mahu cuba berikan yang terbaik, namun.. sedikit tekanan yang terenjis di hati terkadang membuatkan 'idea nakal' datang menerjah.

Saya tercari-cari.. apa yang tidak kena pada pelajar-pelajar saya.. Satu persatu saya teliti, namun jawapan yang dapat saya konklusikan, mereka ini perlukan "bimbingan dalaman" yang lebih. Hati mereka kosong! sungguh saya kata, ruh jiwa mereka sifar. Terlalu berkeras mereka patah, terlalu berlembut mereka hanyut...

Dunia IT tanpa sempadan menghayutkan jiwa mereka! mereka masih dangkal untuk menggunakan kemudahan yang sedia ada untuk kebaikan. Yang mereka tahu hanya keseronokan. Laman sosial seperti Facebook, Twitter, youtube dan sebagainya sebenarnya lebih banyak menghancurkan kehidupan mereka tanpa mereka sedari.

Dari kerana mata turun ke hati. Begitulah mereka. Rasa ingin mencuba melekat disanubari. Secara tidak langsung, mereka akan melakukan apa yang mereka pelajari dari kehendak nafsu yang mereka semai. Dan,kita akan lihat hebatnya penangan internet ini dengan mereka tegar melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai kebaikan. Dengan itu, lahirlah mereka seorang yang hebat melanggar peraturan sekolah. Bermula dengan membawa benda-benda yang diharamkan oleh sekolah, membuli, mengugut, hilang hormat kepada guru dan sebagainya.

Malaysia ini nampak seperti aman. Dan kita boleh konklusikan mungkin untuk 20 tahun akan datang kita masih selamat. Tapi, hakikat sebenarnya, hanya yang mahu ambil peduli sahaja memahami bahawa nagara kita ini menghadapi keruntuhan moral yang amat-amat
kritikal! negara kita memerlukan pembimbing. Dunia amat-amat dahagakan pemuda dan pemudi yang boleh berkorban jiwa dan raga membantu menaikkan syiar Islam!

Bergeraklah kita diposisi masing-masing. Sebagai guru, tugasnya mendidik, membimbing, dan menjadi role model kepada para pelajar. Didiklah mereka-mereka ini sehingga mereka kenal hakikat kehidupan yang sebenar. Jauhi jemu dan putus asa kerana.. mendidik memerlukan waktu... Perubahan yang drastik mungkin hanya retorik semata-mata . Sekejap! tetapi yang kita mahukan ialah perubahan yang boleh melekat dijiwa mereka sampai mereka menemui Tuhan kelak!
Ikhlaskan diri, dan bergeraklah... .

Tuesday, October 04, 2011

Mungkin perlukan ketenangan

Letih, penat.. dan sewaktu dengannya.. itulah yang saya rasakan hari ini. Mungkin tugasan yang terbeban dibahu agak menyesakkan fikiran. Bila minda penat, badan pun turut tidak bermaya. Apatah lagi kalau kedua-duanya digunakan bersama. Memang dari pagi tadi saya gunakan sepenuhnya fizikal dan mental untuk melaksanakan segala tanggungjawab.

Peperiksaan PMR sedang berlangsung, Minggu ini saya pasti sibuk. Mungkin juga sampai berbulan. Sibuk menguruskan peperiksaan, pengajaran di kelas, asrama, assignment Maktab, juga diri sendiri. Kalau saya tidak membahagi-bahagikan masa dengan baik, saya pasti tekanan akan menghampiri saya Oh.. saya tidak akan benarkan ia menapak dalam kehidupan saya. Itupun kalau saya mampu tangani segalanya dengan baik.

Tamat sahaja peperiksaan PMR, bakal menyusul SMRA, SMA juga SPM. Kadang-kadang risau juga melihat gelagat pelajar-pelajar saya. Sepertimana mereka mengharapkan kejayaan, begitu juga saya. Namun, kejayaan bukan datang bergolek, ianya perlukan pengorbanan. Pengorbanan dari kedua-dua belah pihak. Mereka rela dan tabah menadah ilmu, sanggup keletihan sedikit mengulangkaji pelajaran, dan para guru pula ikhlas dalam menyampaikan ilmu. Mudah-mudahan mereka faham apa yang saya sampaikan...

Di asrama juga tidak kurang hebatnya. Beberapa masalah yang timbul membuatkan saya tertempias sedikit tekanan. Namun begitu, syukur alhamdulillah, ianya tidaklah mengganggu perjalanan pengajaran. Saya tetap dapat melaksanakan tanggungjawab yang satu ini - menyampaikan-. Saya sangat mengharapkan kepada pelajar-pelajar saya dapat melakukan yang terbaik dalam kehidupan. Dapat menjaga amanah yang telah dijanji. Belajar bersungguh-sungguh, tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh sekolah dan juga menjaga syariat Allah. Moga-moga mereka menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Amin...

* ...hidup ini hanya persinggahan, negeri akhirat yang perlu kita kejar...*

Wednesday, September 14, 2011

Menghurai Kekusutan

Seorang anak didik saya bertanya : " Ustazah, perlukah kita luahkan sekiranya ada masalah?"

Jawapan saya: " Ya, perlu .."

Masalah dengan kita seperti kawan.. Kita manusia, pasti tidak lari dari masalah. Allah beri hambanya masalah sekadar menguji. Masalah adalah ujian. Diuji kita agar kita lebih kuat dan bertambah keimanan, Ya, Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang, sesuatu masalah itu hampir-hampir membuatkan kita hilang pertimbangan akal.

Sebenarnya kita perlu sedar, kita hanya hamba. Tugas kita melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya tnpa banyak soal. Kesenangan atau kepayahan boleh sahaja Allah berikan kerana itu semua milik mutlak Allah Taala.

Sekali lagi ditekankan, kita manusia. Lemah. Tidak lari dari keluh kesah, suka dengan kesenangan, benci pada kesusahan. Itu lumrah. Sekiranya perlu untuk diluahkan pada manusia, silakan. Tiada salahnya kerana Allah tidak suruh kita hanya berserah diri, tetapi berusaha untuk menyelesaikan segala yang berlaku. Andai kita tidak mampu untuk menyelesaikan sendirian, kita harus minta pertolongan dengan seseorang untuk menghuraikan sedikit kekusutan hati. Tetapi awas, pilihlah seseorang yang bertepatan, bukan yang membawa kita kepada kehancuran.. Jadikan ia sebagai wasilah untuk kita mencari kebenaran.

Oleh itu, selayaknya sebagai hamba, segala yang berlaku kita kembalikan semula pada Allah Taala. Mohon petunjuk-Nya. DIA MAHA kaya, MAHA tahu segala isi hati.. Hanya DIA-lah yang paling layak untuk kita mengadu segala masalah kerana DIA juga yang akan memberi penyelesaian terhadap segala yang kita hadapi…

Wednesday, September 07, 2011

Hargai Masa

Petang ini saya ambil kesempatan lagi teruskan tugasan di bilik guru. Tugas yang saya rasakan tidak pernah habis. Banyak juga kerja yang perlu diselesaikan. Tapi saya tidak kisah. Ini jalan yang saya pilih, jadi saya wajib laksanakan tanggungjawab ini. Saya harus lebih bijak menggunakan masa yang telah Allah kurniakan untuk hamba-hambanya dengan sebaik mungkin... Terhenti seketika...

Menyambung kembali penulisan...

Selesai sudah mengajar seorang anak didik subjek bahasa arab. Alhamdulilah, ini yang saya mahukan. Saya suka lihat kesungguhan pelajar-pelajar saya. Belajar bukan hanya semasa waktu pembelajaran dalam kelas, tetapi bijak mengisi waktu yang terluang dengan perkara yang sepatutnya sebagai seorang pelajar...

penulis : Menyambung kerja yang terhenti...:-)

Tuesday, September 06, 2011

Kembali ke Sekolah

Alhamdulillah, hari ini hari ke-2 persekolahan setelah bercuti sempena sambutan Hari raya Aidilfitri dan cuti penggal persekolahan. Syukur, anak-anak didikku, ku lihat sentiasa ceria, happy walaupun saya tahu hati mereka pasti masih mencintai percutian. Apa tidaknya, hari raya tentu sahaja menggembirakan buat mereka. Baru seminggu, mereka terpaksa pula bersedia diri untuk memulakan sesi pembelajaran. Ada juga yang terpaksa menidakkan percutian kerana bakal menduduki peperiksaan.

Sebentar tadi saya dapat bungkusan kecil dari salah seorang anak didik saya, IMAN.. Perlahan-lahan saya buka bungkusan itu.. ALLAH,. hanya itu ucapan pertama yang terkeluar dari mulutku.. Diberikan kepada saya, Al-Quran berwarna biru tua yang sangat cantik dan minyak wangi.. Terima kasih Iman. Tentu sahaja ianya dibawa dari Makkah Al-Mukarramah. Malam tadi pun begitu juga. Seorang pelajar saya, yang tidak kekok kugelar ulama' kecil, telah memberikan kejutan buat saya. Dihadiahkan sebuah novel sejarah Serikandi Islam... Syukran DHIA'UDDIN... Hanya Allah yang selayaknya membalas jasamu.
... '' Cikgu akan manfaatkan apa yang kalian hadiahkan ''...

Penulis : Manis kehidupan bila bersulamkan Iman, Taqwa dan Ketenangan...

Friday, August 26, 2011

CATATAN HARI INI

Di Sekolah tempat saya mengajar arini telah berlangsung majlis sempena bulan Ramadhan yang akan berlalu beberapa hari lagi. Rasa sangat sayu bila mendengar Tazkirah yang disampaikan oleh Ayahanda Ust Katiman... Ayahanda menitiskan airmata tatkala mengucapkan bahawa Ramadhan kian hampir meninggalkan kita. Saya turut sebak mendengar ucapan beliau dan tanpa diduga, airmata yang jarang ditumpahkan depan orang akhirnya tertumpah jua...
" Ya Allah, adakah dapat kutemui lagi Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini pada tahun hadapan..".

Seharian saya tidak tidur hari ini. Mugkin hujan lebat yang tidak henti-henti malam tadi membuatkan saya agak gelisah untuk melelapkan mata. Apatah lagi hati sentiasa memikirkan hal pelajar-pelajar di bawah jagaan saya, baik lelaki mahupun perempuan. Dengan wujudnya beberapa masalah membuatkan jiwa sedikit kacau. Saya tidak pernah mahu membeza-bezakan antara mereka seperti yang didakwa oleh seseorang. Rasa sayang kepada mereka semua tiada bezanya. Yang saya mahukan mereka faham erti kehidupan, faham matlamat hidup dan kenal Tuhan...

Hari ini bermulanya cuti penggal ke-2. Juga cuti bersempena hari Raya yang bakal tiba. Mudah-mudahan, anak-anak itu tidak terleka dengan keseronokan sahaja. Saya mahu mereka jadi insan yang cemerlang. Bukan cemerlang dalam matapelajaran sahaja, malahan cemerlang kemajuan diri yang akan membawa kebahagian buat mereka di Akhirat kelak...
" Ya Allah, peliharalah Iman mereka,.."




Thursday, August 25, 2011

TIADA SESUATU YANG INDAH SELAIN DARI KESABARAN


" Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu ”
(Surah Muhammad :31)

“ Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
(Surah Al-Imran ayat 200)

. " Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka...
.(-Surah At-Taubah ayat 111).


" Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah ayat 129).

.*.* Ya Allah, lindungilah aku dari berputus asa dengan rahmat-Mu. Kau Tuhanku, Rasulullah nabiku. Pelihara Imanku, agar aku tetap punya daya untuk memberi sumbangan kepada ISLAM...**

Monday, August 22, 2011

Dunia Baru

Lamanya tak update blog sendiri.. Berlalu setahun.. dan hari ini baru saya ada mood untuk menulis semula. Itupun mungkin kerana ada sejarah yang tersendiri, selain rindu untuk menarikan semula jari-jemari yang kemaruk untuk menulis.. :-).

Terakhir saya kemaskini penulisan pada bulan Ramadhan tahun lepas, semasa berada di Bumi bertuah Ardhul Kinanah. Juga semasa saya masih bergelar Mahasiswi Al-Azhar. Dan kini, saya telah kembali ke tanahair dan sedang menikmati kemanisan Ramadhan.. Pagi ini telah masuk hari yang ke-23. Maknanya, Ramadhan telah pun melangkaui 10 hari yang terakhir, dan Syawal pula bakal menjelma." Oh, shahdunya, bulan yang kucintai bakal meninggalkanku tidak lama lagi... Bagaimana Imanku..? Bertambahkah ia..?, Terislahkah akhlakku..."

Saya masih merindukan suasana Ramadhan di Mesir. Jauh berbeza dengan tanahair sendiri. Suasana yang menaikkan ruh kecintaan saya terhadap Pencipta dan Rasulullah, juga kemanisan beribadah.. Namun, saya perlu akur, tempat saya adalah di Malaysia. Dan saya perlu teruskan perjuangan di sini. Perjuangan tidak kenal tempat, yang dia kenal hanya tetap dan terus thabat...

...

*penulis*