Wednesday, December 05, 2007

TAKZIAH DIUCAPKAN, SEMOGA DIBERIKAN KEKUATAN

Bismillah...
Takziah saya ucapkan buat sahabat, Mohd Rasul Bin Amat atas pemergian bonda tercinta pada 2/12 yang lepas. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang mendapat perlindungan. Amin. Inilah kejadian Tuhan, setiap yang bermula pasti ada akhirnya... Moga-moga tabah menghadapi segala ketentuan Ilahi...

Sebelum menerima berita, awal-awal pagi lagi saya tercari-cari kalendar. Melihatkan tarikh semacam ada perkara yang hendak mengigatkan saya atas suatu kejadian. Oh, nombor-nombor itu mengigatkan saya pada peristiwa yang lalu...

Saya juga telah kehilangan insan tercinta pada 12/2/.. Bulan dan tahun yang berbeza tetapi seakan sama. Luluh hati ini hanya Tuhan yang mengetahui. Mengenangkan lagi keadaan saya yang masih memerlukan bantuan untuk bergerak. Saya menangis semahu- mahunya kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Kehilangannya dalam sekelip mata hampir-hampir membuatkan saya tidak dapat menerima kenyataan. Selama sebulan Arwah Ayah bersungguh-sungguh menguruskan saya yang terlantar sakit, rupanya- rupanya genap sebulan dia akan meninggalkan saya...

Orang yang kuat akan bertindak tenang apabila ditimpa musibah. Ternyata, saya tidaklah semampu itu. Dalam kepiluan saya mencari-cari kekuatan diri. Memohon pada yang Esa menemukan kembali semangat yang telah hilang. Redha.. saya tepuk di dada beberapa kali agar ia melekat di hati...

Alhamdulillah, rasa tenang membuatkan saya dapat berfikir dengan waras. Saya masih beruntung kalau hendak dibandingkan dengan orang yang mendapat ujian yang lebih hebat. Saya tidak keseorangan...

Al-Fatihah buat Allahyarham Mahat bin Omar dan semua Muslimin dan Muslimat yang telah dijemput terlebih dahulu menemui-Nya. Semoga dicucuri Rahmat dengan sebanyak- banyaknya. Amin

Monday, November 26, 2007

SKOR IMTIYAZ


KULIAH.... NANTIKAN KEDATANGANKU..:-)

Thursday, September 13, 2007

CATATAN 2

Pada hari selasa yang lepas, saya ambil sehari untuk pulang ke Mansurah. Tapi tidak sampai 24 jam. Boleh juga saya katakan atas suatu urusan penting. Terasa agak terkejar-kejar juga kerana urusan di Kaherah masih tidak selesai. Apa tidaknya, kebajikan Mahasiawa/wi yang baru sampai belum terurus dengan baik. Tapi bukanlah keletihan yang hendak diceritakan di sini. Cuma, kepulangan seorang sahabat pada hari itu ke Tanair semacam terasa kehilangannya. Mungkin kerana dia antara insan yang banyak memberi semangat dan dorongan dalam menjalani kehidupan di Ardhul Kinanah ini. Memang tidak dinafikan, kekuatan dan semangat yang ada pada diri semua datang hanya dari Allah yang Maha Kuasa, namun sahabat yang sentiasa memberi peringatan yang lahir benar-benar dari hati yang ikhlas menyebabkan seseorang boleh berubah. Seseorang yang hampir futur atau tiada kekuatan atas sesuatu dengan izin-Nya masih punya kekuatan rohani mahupun jasmani. Bukan mudah untuk mencari sahabat yang sanggup susah dan senang bersama. Hanya yang benar-benar faham akan hakikat kehidupan sahaja akan mengerti. Semoga Allah menguatkan hati ini dalam menghadapi segala cabaran dan rintangan. Moga ku tidak jauh dari Rahmat-Mu Tuhan…

Wednesday, September 12, 2007

SUARA YANG DIDENGARI MAYAT..

Yang Akan Ikut Mayat Adalah Tiga hal yaitu:
1. Keluarga
2. Hartanya
3. Amalnya

Ada Dua Yang Kembali Dan Satu akan Tinggal Bersamanya yaitu;
1. Keluarga dan Hartanya Akan Kembali
2. Sementara Amalnya Akan Tinggal Bersamanya.

Maka ketika Roh Meninggalkan Jasad...Terdengarlah Suara Dari Langit Memekik, "Wahai Fulan Anak Si Fulan..

* Apakah Kau Yang Telah Meninggalkan Dunia, Atau Dunia Yang Meninggalkanmu
* Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Harta Kekayaan, Atau Kekayaan Yang Telah Menumpukmu
* Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menumpukmu
* Apakah Kau Yang Telah Mengubur Dunia, Atau Dunia Yang Telah Menguburmu."

Ketika Mayat Tergeletak Akan Dimandikan ....Terdengar Dari Langit Suara Memekik, "Wahai Fulan Anak Si Fulan...

* Mana Badanmu Yang Dahulunya Kuat, Mengapa Kini Te rkulai Lemah
* Mana Lisanmu Yang Dahulunya Fasih, Mengapa Kini Bungkam Tak Bersuara
* Mana Telingamu Yang Dahulunya Mendengar, Mengapa Kini Tuli Dari Seribu Bahasa
* Mana Sahabat-Sahabatmu Yang Dahulunya Setia, Mengapa Kini Raib Tak Bersuara"

Ketika Mayat Siap Dikafan...Suara Dari Langit Terdengar Memekik,"Wahai Fulan Anak Si Fulan

* Berbahagialah Apabila Kau Bersahabat Dengan Redha
* Celakalah Apabila Kau Bersahabat Dengan Murka Allah

Wahai Fulan Anak Si Fulan...

* Kini Kau Tengah Berada Dalam Sebuah Perjalanan Nun Jauh Tanpa Bekal
* Kau Telah Keluar Dari Rumahmu Dan Tidak Akan Kembali Selamanya
* Kini Kau Tengah Safar Pada Sebuah Tujuan Yang Penuh Pertanyaan."

Ketika MayatDiusung. ... Terdengar Dari Langit Suara Memekik, "Wahai Fulan Anak Si Fulan..

* Berbahagialah Apabila Amalmu Adalah Kebajikan
* Berbahagialah Apabila Matimu Diawali Tobat
* Berbahagialah Apabila Hidupmu Penuh Dengan Taat."

Ketika Mayat Siap Disolatkan....Terdengar Dari Langit Suara Memekik, "Wahai Fulan Anak Si Fulan..

* Setiap Pekerjaan Yang Kau Lakukan Kelak Kau Lihat Hasilnya Di Akhirat
* Apabila Baik Maka Kau Akan Melihatnya Baik
* Apabila Buruk, Kau Akan Melihatnya Buruk."

Ketika Mayat Dibaringkan Di Liang Lahad....terdengar Suara Memekik Dari Langit,"Wahai Fulan Anak Si Fulan...

* Apa Yang Telah Kau Siapkan Dari Rumahmu Yang Luas Di Dunia Untuk Kehidupan Yang Penuh Gelap Gelita Di Sini

Wahai Fulan Anak Si Fulan...

* Dahulu Kau Tertawa, Kini Dalam Perutku Kau Menangis
* Dahulu Kau Bergembira,Kini Dalam Perutku Kau Berduka
* Dahulu Kau Bertutur Kata, Kini Dalam Perutku Kau Bungkam Seribu Bahasa."

Ketika Semua Manusia Meninggalkannya Sendirian... .Allah Berkata Kepadanya, "Wahai Hamba-Ku.... .

* Kini Kau Tinggal Seorang Diri
* Tiada Teman Dan Tiada Kerabat
* Di Sebuah Tempat Kecil, Sempit Dan Gelap..
* Mereka Pergi Meninggalkanmu. . Seorang Diri
* Padahal, Karana Mereka Kau Pernah Langgar Perintahku
* Hari Ini,....
* Akan Kutunjukan Kepadamu
* Kasih Sayang-Ku
* Yang Akan Takjub Seisi Alam
* Aku Akan Menyayangimu
* Lebih Dari Kasih Sayang Seorang Ibu Pada Anaknya".

Kepada Jiwa-Jiwa Yang Tenang Allah Berfirman, "Wahai Jiwa Yang Tenang

* Kembalilah Kepada Tuhanmu
* Dengan Hati Yang Puas Lagi Diredhai-Nya
* Maka Masuklah Ke Dalam Jamaah Hamba-Hamba- Ku
* Dan Masuklah Ke Dalam Jannah-Ku"

Friday, September 07, 2007

CATATAN 1

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang telah diadakan pada 3 Sept yang lepas di rumah Johor secara rasmi menyaksikan perletakan jawatan para pimpinan lama bagi sesi 2006/2007 dan sekaligus merasmikan kenaikan para pimpinan baru bagi sesi 2007/2008. Walau MAT pada kali ini agak hambar dengan kehadiran ahli yang masih berada di perlembahan Nil ini, namun muhasabah dan cadangan untuk para pimpinan tetap menjadi agenda. Buat diri ini, terasa juga bahang kesedihan tatkala penurunan para pimpinan lama. Bukan sayu kerana saya juga terpaksa meletakkan jawatan, tetapi suka- duka sepanjang berada di dalam Saff Kepimpinan mengundang rasa ini. Bekerjasama selama hampir setahun bukan satu jangka waktu yang pendek. Lebih-lebih lagi hampir dua tahun saya telah berada di dalam Saff ini. Dan bagi kenaikan sesi baru ini, buat kali ketiganya sekali lagi saya dikekalkan untuk terus duduk bersama-sama di dalam Saff. Sebenarnya, rasa tidak layak untuk menerima tanggungjawab ini. Namun, atas dorongan sahabat-sahabat yang dithiqahi, saya terima sekali lagi dengan hati yang redha meskipun pada awalnya sebulat hati untuk menolak. Bukan tidak sanggup untuk menghadapi segala permasalahan atau menjadi salah seorang penggerak di dalam saff kepimpinan, tetapi kelemahan diri sendiri yang kurang dapat menjadi pembantu yang baik menjadi salah satu faktor penolakan di awalnya. Getaran jiwa sentiasa terasa, lebih-lebih lagi bila mengenangkan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Takutkan Murka-Nya kerana terlalu banyak hak-hak yang tidak dapat ditunaikan dengan baik. Untuk kali ini, mungkin semangat berpesatuan agak kurang berbanding sebelum ini, (harap hanya untuk sementara) namun dengan izin-Nya, saya tetap akan cuba lakukan yang terbaik demi mencari redha-Nya. Teringat kalam seorang sahabat "jangan sedih andai dipertanggungjawabkan atas suatu tugas, ikhlaskan hati untuk membantu, kerana kita akan dapat sesuatu yang berharga yang hanya orang yang benar-benar ikhlas sahaja akan merasai..". Semoga diri ini bukan berada di arus Beta ( semangat yang melampau yang berisiko menjunam dengan laju), bukan juga arus Deltha dan Theta (yang tidak bersemangat langsung), tetapi di dalam arus Alpha ( yang sentiasa tenang ) dalam menghadapi segala sesuatu. Wallahu A'lam

Saturday, July 21, 2007

HARI PERDANA SISWI

Syukur saya panjatkan pada Iahi kerana dengan berkat pertolongan-Nya pada 17 haribulan yang lepas, sebuah program siswi telah sempurna diadakan. Pada awalnya, saya agak gusar juga untuk mengapalai program ini. Apatah lagi, terlalu banyak kelemahan diri yang terakam di minda, sepanjang keberadaan di dalam saf kepimpinan.

Tidak dinafikan, memang sebenarnya saya sangat berharap untuk kali ini, atau tahun ini, agar program Hari Perdana Siswi (HPS) dapat diadakan. Inilah waktunya seluruh Mahasiswi Johor di perlembahan Nil ini dapat disatukan.

Walaupun HPS kali ini hanya dapat dilaksanakan selama satu hari, namun saya tetap rasa bersyukur dan berpuas hati. Antara aktiviti menarik yang dapat dimuatkan adalah pertandingan Teka Gaya, Pantun dan Gubahan. Slot ilmiah pula adalah, Pembentangan Kertas Kerja, Kursus Pengurusan Jenazah dan Tayangan Video. Dan, berdasarkan muhasabah yang diterima, antara aktiviti yang paling mendapat sambutan, tentunya BBQ yang dibuat pada akhir program.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan HPS kali ini. Terutama kepada adhoc-adhoc pelaksana yang bertungkus -lumus dalam memastikan majlis ini tidak terlalu banyak kecacatan. Tidak dilupakan juga kepada semua peserta program. Tanpa kalian semua, tidak mungkin program ini dapat dilaksanakan. Terima kasih semua...



Saturday, May 05, 2007

CEMERLANG DUNIA AKHIRAT

Pada pandangan mata kasar manusia, seseorang itu seringkali dilihat cemerlang dari aspek luaran. Bijak melakukan sesuatu dengan pantas tanpa wujud kesalahan. Tidak salah untuk mengatakan ianya sedemikian kerana fitrah manusia selalunya merasa senang dengan apa yang ternampak oleh pandangan.
Namun begitu, alangkah indahnya peribadi seseorang muslim itu bilamana dia cemerlang bukan sahaja di dunia, malahan di akhirat sana. Untuk mendapatkan kecemerlangan, tidak dapat tidak, sedikit kesusahan harus ditempuh. Lebih-lebih lagi bagi kita yang masih berada di alam pengajian, sememangnya memerlukan semangat dalaman yang sukar diperolehi, melainkan dengan pertolongan 'Kuasa Besar'. Dari itu, cuba kita perhatikan beberapa tips untuk memperolehi kecemerlangan dalam diri.
  • Solat di awal waktu
  • Solat sunat Rawatib
  • Qiamullail
  • Mengaji Al-Quran sekurang-kurangnya semuka sahari
  • Solat berjamaah
  • Muhasabah diri sebelum tidur
  • Selawat 100 kali sehari
  • Istigfar 100 kali sehari
  • Jauhi maksiat
  • Ikhlaskan diri kerana Allah :-

1) Berdisiplin

2) Gunakan waktu sebaiknya

3) Utamakan kebersihan diri

4) Berfikiran terbuka dan kreatif

5) Berusaha menjadi yang terawal dalam segala hal positif

6) Menjaga tutur kata

7) Menjaga adab pergaulan dan persahabatan

8) Ringan tulang

9) Mempunya wawasan dan prinsip diri

10) Amanah dalam tugasan

11) Bijak menentukan keputusan

Mudah-mudahan dengan adanya sedikit peringatan ini membawa kita kepada kecemerlangan yang kita dambakan. Bukan cemerlang di dunia sahaja, malahan di akhirat sana...

" Ya Allah Ya Tuhanku, Ampunkanlah segala dosaku kiranya kecemerlangan yang ingin aku bina terhalang oleh dosa-dosaku..."

Kata lukmanul-Hakim :-

" Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia itu bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam di dalamnya. Bila kau ingin selamat dari karam, layarilah lautan ini dengan sampan yang bernama Taqwa, isinya Iman dan layarnya... "Tawakkal kepada Allah."

Tuesday, April 17, 2007

MOTIVASI IMTIHAN...

WAHAI SAHABAT...

Siapakah dirimu? Di mana tempatmu di sisi keluargamu? Apa yang berguna tentang dirimu? Banggakah mereka dengan dirimu? Siapakah dirimu di sisi temanmu? Mampukah mereka membantumu untuk tempoh bertahun akan datang?

WAHAI TEMAN SEPERJUANGAN...

Tiada siapa yang dapat membantumu menjawab soalan yang bertubi-tubi yang timbul dalam hatimu. Jika benarlah kamu ingin mengubah dirimu dan sebaliknya, andai belum pernah timbul dalam hatimu akan siapakah sebenarnya dirimu? Apakah sebenarnya hakikat hidupmu? Apa yang kamu inginkan dalam hidupmu? Di mana tempatmu di sisi Tuhanmu, dan segala soalan yang sepatutnya timbul dalam benakmu, maka jadilah kamu umpama haiwan ternakan, bahkan kamu lebih sesat dari itu.
Siapakah diri kita? Kitalah yang memperkenalkan diri, bukan dengan kata-kata, bukan dengan dabik dada aku pelajar al-Azhar tetapi dengan kerja buat kita. Bukan dengan kerneh kita tetapi dengan pretasi kita yang membuatkan kita tidak malu untuk mengaku "AKU PELAJAR AL-AZHAR", "AKU ANAK AL-AZHAR"dan macam-macam lagi pengakuan yang membuatkan kita tidak bermerah muka bila menuturkannya.

WAHAI PENYELAMAT UMAT ISLAM...

Nabi telah membayangkan dalam sabda-sabdanya, bahawa yahudi laknatullah serta pembantu mereka dari golongan Kuffar akan meratah dan membaham kita seperti menghadapi makanan yang enak. Mampukah kita menahan serangan mereka kalau kita hanya mampu tidur dan bersedap-sedap dengan hiburan yang tidak akan membawa kita ke mana-mana, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan kelak serta di masukkan ke dalam Neraka lebih dahulu dari penyembah berhala. Apakah hukuman yang sesuai bagi orang yang wajib menuntut ilmu, tetapi tidak menunaikan haknya di sisi agama, diri, keluarga dan bangsanya melainkan kehinaan yang dasyat di dunia dan balasan azab yang pedih di akhirat kelak. Apakah balasan bagi mereka yang diharapkan menjadi benteng kepada agamanya dikala bangsanya sedang lena. Kamulah yang bertanggungjawab jika bangsamu diazab kelak lantaran kekurangan ilmu yang patut kamu perolehi, tapi kamu lengahkan diri dengan keseronokan yang tiada hujung pangkalnya.

WAHAI BAKAL PEWARIS NABI...

Layakkah kamu mendapat gelaran itu? Kemudian menyambung tugas para Nabi kalau kamu sendiri tidak dapat mengalahkan diri dan menundukkan nafsu sebelum diayah Kuffar dalam meruntuhkan kepercayaan umat Islam pada agama mereka sendiri. Nilailah diri kamu, betapa kecilnya diri di hadapan Tuhan apabila ditanya tentang sesuatu yang tidak pernah dapat kamu selesaikan ketika hidup di dunia. Kamu telah menerima tanggungjawab ini, maka kakimu tidak akan terlepas dari belenggu tanggungjawab ini sehinggalah bangsamu bebas dari belenggu kejahilan.

WAHAI TEMAN...

Waktu tidak pernah membenarkan kita berehat, waktu yang kita rasakan panjang hanyalah fatamorgana. Waktu itu sangat kejam dan tidak akan mengasihi kita. Ia akan meninggalkan kita dan kita tidak akan mampu mengekangnya. Gagal bersedia, bermakna bersedia untuk gagal. Imtihan yang dijanjikan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Kitab sudahpun Doktor sediakan, Muhadharah sudah hampir berakhir dan akan tibalah tempoh pertanyaan untuk kita. -IMTIHAN- yang tidak akan ada orang yang dapat membantu kita untuk menjawab soalan yang dberikan kepada kita. Imtihan yang menguji kecekalan kita dalam menuntut ilmu serta keredhaan Allah yang Maha Esa.

Ayuh sahabat, Sedarlah... Bangkitlah... Capailah pena sebagai senjata, melangkah gagah ke meja belajar yang umpama medan perang bagi kita. Capailah kitab kita dan menuju dengan bergaya ke kem askar di Kuliah kita, dan pastikan masa depan adalah untuk kita dan ISLAM.