Friday, September 07, 2007

CATATAN 1

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yang telah diadakan pada 3 Sept yang lepas di rumah Johor secara rasmi menyaksikan perletakan jawatan para pimpinan lama bagi sesi 2006/2007 dan sekaligus merasmikan kenaikan para pimpinan baru bagi sesi 2007/2008. Walau MAT pada kali ini agak hambar dengan kehadiran ahli yang masih berada di perlembahan Nil ini, namun muhasabah dan cadangan untuk para pimpinan tetap menjadi agenda. Buat diri ini, terasa juga bahang kesedihan tatkala penurunan para pimpinan lama. Bukan sayu kerana saya juga terpaksa meletakkan jawatan, tetapi suka- duka sepanjang berada di dalam Saff Kepimpinan mengundang rasa ini. Bekerjasama selama hampir setahun bukan satu jangka waktu yang pendek. Lebih-lebih lagi hampir dua tahun saya telah berada di dalam Saff ini. Dan bagi kenaikan sesi baru ini, buat kali ketiganya sekali lagi saya dikekalkan untuk terus duduk bersama-sama di dalam Saff. Sebenarnya, rasa tidak layak untuk menerima tanggungjawab ini. Namun, atas dorongan sahabat-sahabat yang dithiqahi, saya terima sekali lagi dengan hati yang redha meskipun pada awalnya sebulat hati untuk menolak. Bukan tidak sanggup untuk menghadapi segala permasalahan atau menjadi salah seorang penggerak di dalam saff kepimpinan, tetapi kelemahan diri sendiri yang kurang dapat menjadi pembantu yang baik menjadi salah satu faktor penolakan di awalnya. Getaran jiwa sentiasa terasa, lebih-lebih lagi bila mengenangkan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Takutkan Murka-Nya kerana terlalu banyak hak-hak yang tidak dapat ditunaikan dengan baik. Untuk kali ini, mungkin semangat berpesatuan agak kurang berbanding sebelum ini, (harap hanya untuk sementara) namun dengan izin-Nya, saya tetap akan cuba lakukan yang terbaik demi mencari redha-Nya. Teringat kalam seorang sahabat "jangan sedih andai dipertanggungjawabkan atas suatu tugas, ikhlaskan hati untuk membantu, kerana kita akan dapat sesuatu yang berharga yang hanya orang yang benar-benar ikhlas sahaja akan merasai..". Semoga diri ini bukan berada di arus Beta ( semangat yang melampau yang berisiko menjunam dengan laju), bukan juga arus Deltha dan Theta (yang tidak bersemangat langsung), tetapi di dalam arus Alpha ( yang sentiasa tenang ) dalam menghadapi segala sesuatu. Wallahu A'lam

No comments: