ASSALAMUALAIKUM..WBT
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Kita telahpun merdeka melepasi kemelut getir imtihan fasa 1, baik bagi mereka yang pertama kali merasai, mahupun yang telah menjadi kebiasaan. Hakikatnya, kita telah berjaya kerana kita berani menduduki dewan peperiksaan.
Bagi sesi 2007/2008, sekali lagi BKPJM khususnya Unit Pengetahuan dan Bimbingan berusaha bersungguh-sungguh, menyusun dan mengadakan kelas-kelas tafaqquh di Rumah Johor. Semua yang dirangka bukan sekadar memenuhi agenda tahunan, tetapi untuk memberikan kemudahan khususnya bagi ahli Johor itu sendiri menuntut ilmu.
Sahabat-sahabat…
Adakah dirimu masih ingat di waktu awal keberangkatan menuju ke bumi para Anbiya’ ini? Janji yang terlafaz di hadapan kedua orang tuamu dan yang telah dipatri kuat di dalam diri bahawa pemergianmu bukanlah suatu yang sia-sia, dan bukan sekadar suka-suka atau mengikut kawan. Jangan zalimi diri kita dengan perkara yang tidak memberi pulangan yang terbaik buat diri. Andai kita dapat menyelami sungguh-sungguh harapan kedua ibu bapa kita, pastinya kita merasa berdosa bila tanggungjawab sebagai anak kita abaikan. Andai kita merasai perasaan kawan-kawan yang mahu menuntut ilmu tetapi dihalang oleh faktor-faktor tertentu, pastinya kita tidak akan sanggup membuang masa walau seminit dua. Andai kita mengerti menuntut ilmu terlalu penting buat Islam, pastinya setiap detik dirasakan terlalu bernilai.
Sahabat-sahabat…
Ibrahim An-Nakhai pernah berkata;
“Kebinasaan orang yang sebelum kamu adalah sebab tiga perkara iaitu, banyak bercakap, banyak tidur dan banyak makan.”
Oleh itu, jangan kita menjadi seorang pembuang masa yang handal. Renung-renungkan Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang bermaksud
“Demi Masa...Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan kepada kebenaran,.” Selagi mana Allah masih izinkan kita menggunakan nikmat-nikmat-Nya, gunakanlah dengan sebaiknya kerana peluang yang Allah beri tidak akan kembali lagi. Sabda Rasulullah S.A.W,
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara ; Hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua dan kaya sebelum papa.” (Riwayat Baihaqi ) Jangan ianya menjadi hafalan semata-mata, tanpa kita teliti maksud dari sabda Baginda yang kita cintai.
Jadi sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, marilah kita sama-sama menghadiri kelas-kelas tafaqquh yang tumbuh bagaikan cendawan di bumi yang penuh barakah ini, Sentiasalah kita ingat bahawa kejayaan kita bukan sahaja memberikan kesan terbaik pada diri sendiri bahkan kepada keluarga ,masyarakat, bangsa , negara dan Islam itu sendiri.
Buat akhirnya, ana akhiri dengan sebuah petikan kata-kata dari Saidina Ali :
“ Manusia yang paling bahagia itu adalah orang yang dapat menunaikan segala tanggungjawabnya”
No comments:
Post a Comment