Thursday, August 19, 2010

RAMADHAN KAREEM..

Alhamdulillah, syukur pada Allah sekali kita dapat merasai kemanisan bulan Ramadhan. Ramadhan adalah salah satu bulan dari bulan-bulan Hijriah. Bulan yang dijanjikan rahmat, keampunan dan perlepasan dari api neraka bagi hamba-hamba Allah yang mahu mengambil pengajaran dan peluang yang telah Allah sediakan bagi umat islam.

Setiap tahun pasti Ramadhan tiba. Dan ianya terus berlalu tanpa menunggu kita. Sekiranya kita leka dari mengambil peluang, alangkah ruginya kita. Kalau kita terokai sejarah terdahulu mencatatkan Ramadhan disambut meriah oleh para sahabat. Gembira dengan kedatangan bulan yang satu ini, dan menitis airmata tatkala Ramadhan pergi meninggalkan mereka.

Alangkah bahagianya andai roh sebegitu masih wujud di hati umat akhir zaman ini. Ramadhan disambut meriah kerana luasnya rahmat dari Allah, kerana tarawikhnya dan kerana ganjaran yang tidak diberikan pada bulan-bulan lain. Bukan bahagia kita kerana adanya pasar Ramadhan dan bukan seronoknya kita kerana hari Raya yang hampir tiba.. Ya, Syawal hari kemenangan umat islam, namun jangan kita keterlaluan sehinggakan Ramadhan hanya semacam laluan bagi kita untuk meraikan hari Raya.

Ramadhan bulan rahmat,ramadhan juga bulan keampunan, juga bulan perlepasan dari api neraka. Gunakan sebaik mungkin Ramadhan yang kita wujud padanya. Andai disingkap, betapa Allag bagi pahala yang melimpah-limpah dan ganjaran yang tidak terhitung oleh kita. Ya, sesuatu yang kita tidak nampak sukar untuk dipercayai, namun yakinlah dengan janji Allah. Ianya tidak diperlihatkan oleh mata kasar kita supaya hitungan ganjaran bersesuaian dengan keikhlasan hati kita.

Ramadhan bulan pentarbiahan. Bulan mengajar kita erti kesabaran dalam kepayahan. Kepayahan dalam menanggung beban kepanasan dan gerak kerja yang perlu kita teruskan. Kita imbas sirah perjuangan, di dalam perang Badar khususnya, Rasulullah dan para sahabat tetap meneruskan peperangan walaupun ianya pada bulan Ramadhan. Ganjarannya, Allah berikan nikmat kemenangan dan ini membuktikan pada kita bahawa puasa bukanlah satu sebab untuk kita merasa lemah dalam melakukan sesuatu.

Justeru itu, lipat-gandakan amalan kita pada bulan ini. Gunakan Ramadhan yang berbaki ini dengan sebaiknya. Anggap sahaja kita mungkin tidak akan bertemu lagi pada bulan Ramadhan akan datang (waallua’lam. Hanya DIA sahaja mengetahui). Ikhlaskan hati dalam melaksanakan perintah Allah. Jauhkan larangannya. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam hamba-hambanNYA yang beruntung..

Penulis: “Hidup ini hanya persinggahan sementara. Bila-bila sahaja kita akan dipanggil pulang. Entahkan selepas detik ini, esok atau lusa.. Ya Allah, ampunkan dosaku, ahli keluargaku dan para pejuang agamaMU…” Amin

1 comment:

Akhie Mujahied said...

Akhirnya..............he3...